Derita kulit mengelupas

Petikan Harian Metro Online
Oleh Safuri Kamarudin
rencana@nstp.com.my


"HATI ibu mana yang tidak hiba setiap kali melihat anak bongsu kesayangan merengek kesakitan kerana menghidap penyakit kulit mengelupas.

"Dengan umur semuda itu, dia masih belum memahami penderitaan yang dialami kami sekeluarga. Namun, saya dan suami reda kerana semua ini mungkin ujian Allah untuk menguji ketabahan hamba-Nya," luah Salmiah Abdul Rahman, 40, dari Kampung Siput, Baling, Kedah.

Menurut Salmiah, anak bongsunya itu, Mohd Irshad Azizan, setahun 10 bulan, menderita sakit kulit mengelupas sejak berumur enam bulan.

Sudah puas dia dan suami mendapatkan rawatan moden serta berubat cara tradisional, tetapi penyakit anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda pulih.

Katanya, kulit anaknya akan mengelupas dengan teruk apabila panas dan berpeluh.

"Setiap kali panas dan berpeluh, Mohd Irshad akan menangis tidak henti-henti. Untuk memujuknya, saya dan suami terpaksa bergilir-gilir menggosok badannya.

"Kadang-kadang sampai semalaman kami tidak tidur kerana dia menjerit tidak selesa, sakit dan gatal. Lebih teruk, apabila badannya terkena air, dia juga akan menangis kerana kesakitan," katanya yang pernah membawa anaknya mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Baling dan Hospital Sungai Petani.

Suaminya, Azizan Yusof, 50, berkata, selain berusaha mengumpul wang bagi mengubati Mohd Irshad, dia juga perlu bekerja untuk memastikan persekolahan tiga daripada lima anaknya tidak terjejas.

Dia yang bekerja sebagai buruh di Majlis Daerah Baling berkata, penyakit anaknya itu menyebabkan isterinya tidak dapat bekerja dan terpaksa memberi sepenuh perhatian kepada Mohd Irshad.

Azizan berkata, dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengubati anaknya, tetapi keadaannya masih tidak berubah.

"Anak saya hanya menyusu ibu dan tidak selera untuk makan nasi atau makanan lain. Ia menyebabkan badannya tidak membesar seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

"Saya dan isteri tidak pernah berputus asa malah akan terus berusaha untuk mengubati penyakitnya.

"Kami sekeluarga merayu, jika ada mana-mana pihak yang arif mengenai penyakit berkenaan supaya dapat membantu merawat penyakit anak saya ini," katanya penuh harapan.

Anak sulung pasangan ini, Mohd Izwan, 22, kini bekerja di syarikat swasta di Kuala Lumpur untuk membantu mencari wang bagi menampung perbelanjaan rawatan adiknya, manakala Nur Atiqah, 17 serta Nur Afifah, 14 kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling. Mohd Izzad, 9, pula belajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar.

Anak keduanya, Nur Atiqah sebelum ini memperoleh 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dua tahun lalu manakala Nur Afifah memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Mereka yang ingin membantu keluarga Salmiah dan Azizan untuk merawat penyakit anaknya, boleh menghubungi talian 019-5659444.

0 comments:

Post a Comment