Diabetes tandingi kanser


Oleh HAMZAH ABDUL HAMID

Semalam, Hari Diabetes Sedunia disambut. Adakah kita memahami mesejnya?

OBESITI antara masalah utama 285 juta penghidap diabetes di seluruh dunia kini.

SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.

Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!

Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.

“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.

“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.



Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.

Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.

“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.

“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.


Gemuk di pinggang

Ramai antara kita yang tidak sedar mengenai kecenderungan kumpulan tertentu dalam masyarakat yang berisiko tinggi mendapat diabetes.

Berita buruk ini bukan saja menakutkan mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun, bahkan menghantui wanita yang dalam fasa kehamilan, orang yang hipertensi, berpenyakit vaskular, dislipidaemia, serta mereka yang menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

“Masalah kegemukan yang mencapai tahap obesiti juga membawa masalah lebih-lebih lagi jenis obesiti tengah iaitu kegemukan di bahagian perut dan pinggang.



“Kegemukan inilah yang menjadi punca utama rintangan insulin,” jelas Mafauzy.

Selain itu, faktor genetik sangat ketara dalam membentuk kemungkinan penghidapnya.

Mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga perlu berwaspada dengan kemungkinan tersebut memandangkan masalah itu boleh diwarisi.

“Jika bercakap tentang pecahan mengikut kaum, orang India mempunyai kecenderungan tertinggi bagi penyakit ini, diikuti oleh orang Melayu dan Cina.

“Statistik 2006 juga mencatatkan bahawa Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai laporan kes diabetes paling banyak, sementara penduduk Sabah adalah yang terendah mendapat diabetes,” ulas beliau yang mengaitkan trend perangkaan itu dari sudut populasi kaum, gaya hidup berasaskan kuasa ekonomi serta corak pemakanan.

Mesej yang hendak disampaikan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia semalam adalah penyakit ini perlu dicegah dan dikesan lebih awal supaya apabila sudah didiagnosis, ia perlu diuruskan secara lebih agresif.

Setiap tindakan awal boleh menghindar rentetan masalah kesihatan yang lebih buruk.

“Bagi pesakit diabetes Jenis 2, komplikasi miksovaskular sudah boleh dikesan semasa diagnosis.

“Ini termasuklah keseriusan masalah berkaitan deria penglihatan atau retinopati (12 peratus), nefropati (18 peratus), disfungsi erektil (20 peratus) dan neuropati (12 peratus),” kata Mafauzy.

Disiplin

Maka, langkah mencegah yang pertama adalah dengan meningkatkan kepekaan terhadap faktor-faktor risiko iaitu melalui pemeriksaan.

Jika diabetes dikesan, keberkesanan penjagaan diet ideal dan senaman fizikal perlu dipertingkatkan agar berat badan dapat dikurangkan.

KEGEMUKAN menjadi punca utama rintangan insulin.

Pesakit juga perlu berdisiplin dengan senaman yang dijalankan. Ujian klinikal dan kecergasan mengesyorkan senaman minimum adalah dengan berjalan kaki selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.

Sementara itu, pengambilan ubat-ubatan hanya boleh dimulakan sekiranya perubahan gaya hidup tadi tidak menunjukkan sebarang impak positif selepas enam bulan.

Sehingga kini dianggarkan lebih 285 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Sebanyak 344 juta lagi tergolong dalam kategori mereka yang berisiko tinggi menghidapnya.


Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 25 peratus rakyatnya akan menghidap diabetes menjelang tahun 2020.

Apakah kita masih tidak mengambil peduli untuk mengubah anggaran tersebut, atau sekurang-kurangnya berubah demi kebaikan diri sendiri?

40,000 dos vaksin H1N1 tiba akhir bulan depan

TERKINI Utusan Online
17/09/2009 5:52am

BENTONG 17 Sept. — Sebanyak 40,000 daripada 400,000 dos vaksin Influenza A(H1N1) yang ditempah Kementerian Kesihatan dijangka tiba di negara ini akhir bulan depan, kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, vaksin tersebut akan diedarkan secara sama rata, namun disebabkan dos yang terhad kementerian akan mendahulukan golongan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat selain golongan berisiko tinggi seperti ibu mengandung serta kanak-kanak.

Baki 360,000 dos vaksin pula akan tiba awal Januari tahun depan, katanya.

Liow berkata, kesemua vaksin itu yang bernilai RM14 juta diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya kementerian yang sedang dalam proses tempahan vaksin peringkat kedua sedang meneliti beberapa inisiatif dan pengeluar lain bagi mendapatkan harga dan kualiti terbaik.

“Kami perlu membuat tempahan awal dan kami sedang mencari kualiti yang terbaik.

Kami berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumber termasuk dari China dan Taiwan supaya jika berlaku kecemasan, kami dapat memperoleh lebih banyak vaksin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Komuniti Orang Asli Sungai Gapoi di sini malam tadi. - Bernama
(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_02.htm)

Gusi bermasalah punca kanser

sumber:KOSMO Online

RISIKO kanser terhadap pesakit periodontis adalah lebih teruk.

PENJAGAAN yang baik pada kesihatan gigi mampu mengurangkan penyakit berkaitan kepala serta kanser tekak, menurut satu kajian yang mengaitkan penyakit gusi dan kanser.

Mempunyai penyakit gusi kronik yang melibatkan kehilangan tulang dan tisu lembut pada gigi secara progresif terbukti meningkatkan perkembangan sel karsinoma pada kepala dan tekak, terutama di mulut dan kerongkong.

Menurut ketua penyelidik di Institut Kanser Roswell Park, Buffalo, New York, Dr. Mine Tezal, risiko kanser menjadi lebih teruk pada pesakit periodontis, tidak kira sama ada mereka merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau.

(http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm)

KESIHATAN Beri biru hilangkan mengantuk

sumber:KOSMO Online

MENGUNYAH semangkuk beri biru yang kaya dengan vitamin C dan E ketika sarapan pagi mampu menghentikan rasa letih pada waktu tengah hari.

Penyelidik mendapati dengan pengambilan buah-buahan, ia dapat membantu meningkatkan daya tumpuan dan ingatan sehingga lima jam kemudiannya.

Menurut penyelidik dari Universiti Reading, Britain, Dr Jeremy Spencer, kandungan antioksida yang terdapat dalam beri biru meningkatkan aliran darah dan oksigen ke otak, sekali gus menjadikan otak sentiasa cergas.

(http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm)

KOSMO-KESIHATAN: Hati berlemak



JIKA anda mengalami masalah obesiti, kemungkinan anda mendapat masalah hati berlemak adalah tinggi.

INI adalah satu lagi penyakit yang disebabkan oleh obesiti dan diabetes - hati berlemak. Malah remaja seawal usia 15 tahun turut berisiko mendapat penyakit berkaitan hati ini akibat kedua-dua masalah tersebut.

Menurut Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Ryan Ponnudurai, hati berlemak turut dikenali sebagai FLD, hepatosis steatorea atau hepatitis steatosis.

Ia merupakan satu keadaan di mana sejumlah besar membran lemak tepu berkumpul di dalam sel hati melalui proses steatosis.

Hati berlemak terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hati berlemak biasa (steatosis), dan hati berlemak berkaitan dengan keradangan (steatohepatitis).

"Secara asas, penyakit ini timbul akibat pengambilan alkohol terutama di negara Barat. Namun, keadaan semakin berubah. Kini, kes berkaitan hati berlemak tanpa kehadiran alkohol (NAFLD) semakin meningkat," ujarnya.

Perubahan pada enzim hati secara abnormal yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan metabolisma menjurus kepada masalah hati berlemak.



GAMBARAN sebenar keadaan hati yang mempunyai lemak yang dilihat menerusi imbasan.

Tanpa simptom yang khusus, penyakit itu lazimnya menyerang mereka yang berumur 40 tahun ke atas selain penghidap obesiti atau diabetes.

"Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Disebabkan penyakit ini berkaitan dengan sindrom metabolik (diabetes, tekanan melampau serta obesiti), pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.

"Hanya dengan melakukan ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak," tegasnya yang turut menjelaskan tiada satu kaedah rawatan bagi penyakit ini.

Menyerang wanita hamil

Tambahnya, progres steatohepatitis mampu menyebabkan fibrosis hati dan sirosis. Akibatnya, ia meningkatkan risiko kematian terhadap penghidapnya.

Selain itu, fibrosis atau sirosis di dalam hati dihadapi oleh antara 15 hingga 50 peratus pesakit hati berlemak tanpa alkohol steatohepatitis (NASH).


DR. RYAN PONNUDURAI

Ryan menegaskan, hanya dengan menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur mampu mengelakkan penularan penyakit itu.

Ryan turut menjelaskan, penyakit hati berlemak itu juga merupakan punca kepada gagalnya pemindahan hati dilakukan.

"Sejak lima tahun lepas, kebanyakan pakar bedah mengalami masalah dalam melakukan pemindahan hati walaupun mempunyai ramai penderma.

"Sebabnya, apabila diperiksa keadaan hati penderma, ramai antara mereka tidak menyedari mempunyai hati berlemak," ungkapnya.

Ryan berkata, penyakit itu turut menyerang wanita hamil, terutama ketika kandungan berada di peringkat trisemester akhir.

Namun jelasnya, bagi wanita hamil, ia akan hilang selepas bersalin sama seperti mereka mengalami darah tinggi dan kencing manis ketika tempoh kehamilan.

Bukan itu saja, Ryan memberitahu bahawa penurunan berat badan secara mendadak turut mengundang kepada kewujudan hati berlemak itu.

"Kerana risiko ini, mereka yang ingin mengurangkan berat badan disaran agar melakukannya secara berperingkat," tegasnya.

Diabetes bukan halangan puasa

Oleh Hafizah Iszahanid dan Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my




Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa.

Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah.

“Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya.

Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja.

“Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak.

“Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya.



Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan. Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.

Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

# Diet - Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.

# Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.

# Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.

# Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:

# Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

# Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 - 0.2 unit insulin/kg berat badan)

Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil?

Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa.

“Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya.

Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa.

“Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor.

Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

Tanda-tanda hipoglisemia:
> Menggigil
> Terlalu lemah
> Amat lapar
> Berpeluh
> Pucat
> Berdebar-debar
> Gelisah
> Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:
> Kerap buang air kecil
> Terlalu dahaga
> Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:
> Amat dahaga
> Kulit dan lidah yang terlalu kering
> Fikiran terganggu

Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:
> Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
> Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
> Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
> Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
> Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
> Mengalami jangkitan kuman.
> Warga tua dan tinggal bersendirian.
> Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
> Berusia bawah 12 tahun.

sumber:(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090906074356/Article)

H1N1: Ramai masih tidak faham


KOSMO Online

TIONG LAI (kanan) melihat kakitangan perubatan mengambil suhu badan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada program Bersama Hentikan H1N1 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa kefahaman dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai wabak selesema babi atau H1N1 dan cara penularannya masih rendah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laporan WHO yang diperoleh pada Khamis lepas menunjukkan orang awam masih tidak mengambil serius tentang bahaya penyakit itu, yang sekali gus menyebabkan peningkatan terhadap kes-kes H1N1.

Beliau berkata, daripada empat kempen yang dijalankan iaitu kempen pemakaian penutup mulut dan hidung, kebersihan diri, penggunaan pencuci tangan dan mencuci tangan, hanya kempen pemakaian penutup hidung dan mulut yang berjaya memberi kesedaran terbaik kepada orang ramai.

(http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm)

H1N1 serang paru-paru

BERITA UTAMA :Utusan Online
(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm)
H1N1 serang paru-paru

WASHINGTON 29 Ogos - Doktor di seluruh dunia melaporkan kes-kes selesema babi dalam bentuk teruk yang terus menyerang paru-paru, menyebabkan pesakit yang biasanya golongan muda mengalami kegagalan sistem pernafasan yang serius sehingga memerlukan rawatan rapi berpanjangan di hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terkininya semalam mengenai pandemik itu berkata, beberapa negara melaporkan sehingga 15 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus influenza A (H1N1) memerlukan rawatan rapi.

Masalah itu menimbulkan lagi bebanan ke atas sistem penjagaan kesihatan yang sudah pun tertekan, menurut WHO.

"Langkah-langkah persiapan perlu diambil bagi menghadapi kemungkinan meningkatnya permintaan terhadap unit penjagaan rapi yang dijangka tidak dapat menampung lonjakan tiba-tiba dalam bilangan kes teruk," ujar WHO.

Bentuk selesema yang teruk seperti selesema babi itu jarang dilihat dalam kes jangkitan selesema bermusim.

"Di kalangan pesakit HIN1, virus itu terus menyerang paru-paru, menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Menyelamatkan nyawa mangsa memerlukan rawatan sangat khusus dalam unit rawatan rapi, selalunya bagi tempoh lama dan melibatkan kos tinggi," kata WHO. - Reuters

Puasa pesakit kronik



Agak sukar memastikan individu yang berpuasa meminum lapan gelas air setiap hari, tetapi mereka mestilah berusaha untuk meminum banyak air ketika sahur dan berbuka

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL(ARKIB : 25/08/2009)Utusan Malaysia


KEDATANGAN bulan Ramadan memang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam. Masing-masing berlumba-lumba menambah ibadah untuk mendapat keberkatan serta keredaan daripada Allah S.W.T. Kemeriahan untuk berpuasa juga dirasakan oleh golongan yang menghidapi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Memang tidak dinafikan ramai antara pesakit masih belum mengetahui cara puasa yang terbaik bagi mereka. Ada yang melahirkan kerisauan dan tidak kurang juga melakukan cara tersendiri yang difikirkan baik untuk diri mereka.

Pakar pemakanan Pusat Perubatan Sime Darby, Nurul Aziah Musa berkata, bagi mereka yang mengalami penyakit buah pinggang kronik, pengambilan makanan berkhasiat harus dititikberatkan.

"Ini kerana pemakanan yang betul akan membantu memperlambatkan proses kegagalan buah pinggang. Selain itu, ia mengurangkan komplikasi lain seperti penyakit berkaitan kardiovaskular. Sehubungan itu, golongan ini dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarangan makanan dan pastikan ia mengandungi kalori, protein, karbohidrat, lemak dan imbangan elektrolit," jelasnya ketika menyampaikan ceramah Pemakanan Pesakit Kronik di forum kesihatan anjuran Fresenius Kabi Malaysia Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Nurul Aziah, corak pemakanan untuk pesakit buah pinggang kronik sebenarnya bergantung pada tahap penyakit mereka. Tahap tersebut ialah sama ada di peringkat awal, peringkat pra dialisis dan semasa dialisis.

"Pada peringkat awal rawatan, tekanan darah dan kandungan gula dalam darah perlu dikawal. Pada ketika ini, pesakit mesti mengelak daripada memakan beberapa jenis ubat. Yang paling utama mereka perlu mendapatkan panduan pemakanan yang betul dan senaman. Selain itu mereka perlu berjumpa doktor," tambahnya.

Sementara itu, katanya, bagi pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi pula, golongan ini mestilah mengambil pemakanan yang sesuai bagi mengurangkan tekanan darah.

"Mereka disarankan mengikuti DASH Diet, iaitu mengambil makanan yang mengandungifiber tinggi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu tanpa lemak.

"Dicadangkan 6 gram sodium klorida atau kurang daripada 2,400 miligram sodium ataupun 1 sudu teh garam sehari harus diambil oleh seseorang individu yang ingin mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanannya.

"Pastikan memasak bahan mentah seperti daging ayam, lembu dan ikan yang segar dan elakkan daripada memakan makanan segera yang diproses serta makanan dalam tin. Gunakan herba dan rempah asli dan jika mahukan perasa gunakan yang tanpa garam," jelasnya.

Nurul Aziah berkata, pesakit kencing manis atau diabetes pula sebaiknya mengekalkan pemakanan diabetik demi mengawal kandungan gula dalam badan.

"Ramai pesakit diabetes yang keliru sama ada mereka boleh makan buah atau tidak. Sebaiknya pesakit diabetes mesti mengamalkan pemakanan seimbang dan memasukkan pelbagai jenis buah dalam pemakanan mereka. Tetapi buah mestilah dimakan dengan makanan lain dan bukan buah semata-mata.

"Kadar pengambilan pula ialah tiga hingga lima hidangan setiap hari untuk sayur manakala dua hingga tiga hidangan untuk buah-buahan," jelasnya.

Menurutnya, pesakit diabetes dalam bulan Ramadan ini jangan meninggalkan sahur dan jangan melambatkan berbuka.

"Paling utama kurangkan pengambilan makanan bergula. Makan buah dengan makanan lain sewaktu sahur dan berbuka. Karbohidrat yang mengandungi fiber tinggi amat digalakkan dalam setiap hidangan.

"Dalam pada itu, pesakit diabetes disarankan mengurangkan makanan bergoreng dan mengandungi lemak. Kurangkan juga makanan yang mengandungi garam tinggi untuk mengurangkan risiko cecair kering di dalam badan," katanya.

Jelasnya, memang agak sukar memastikan individu yang berpuasa meminum lapan gelas air setiap hari, tetapi mereka mestilah berusaha untuk meminum banyak air ketika sahur dan berbuka.

Menurut Nurul Aziah, pesakit diabetes, darah tinggi dan buah pinggang kronik juga boleh melakukan senaman seperti aerobik untuk membakar lemak dan meningkatkan stamina.

Ia boleh dilakukan sebanyak tiga hingga lima kali seminggu selama 20 hingga 40 minit setiap kali senaman.

"Ketiga-tiga penyakit ini memang berkait rapat, jadi adalah lebih baik pesakit yang mengalami salah satu penyakit yang dinyatakan memastikan tahap tekanan darah dan gula dalam darah mereka terkawal bagi mengurangkan risiko komplikasi penyakit lain.

"Cara pemakanan yang betul ketika puasa boleh membantu mempertingkatkan kesihatan anda. Apa yang boleh anda lakukan juga ialah mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit yang dialami dan berbincang dengan doktor demi kesihatan anda sendiri," akhirinya.

(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0825&pub=utusan_malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm&arc=hive)

Tangki air ada bangkai - Hasil pemeriksaan Syabas di rumah pengguna


Tangki air ada bangkai - Hasil pemeriksaan Syabas di rumah pengguna

Oleh ZULKIFLI MANZOR
berita@kosmo.com.my

KEADAAN tangki air yang dikeluarkan oleh Syabas dari sebuah rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam begitu menjijikkan.




KUALA LUMPUR - Pantang ada masalah air kotor berlaku, rata-rata kebanyakan 7.5 juta pengguna air di Kuala Lumpur, Putrajaya danSelangor biasanya 'menuding jari' kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Kadangkala tuduhan itu bukan semuanya salah Syabas malah ia juga berpunca daripada sikap pengguna sendiri mengakibatkan air yang disalurkan kotor, keruh dan berkeladak.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, masalah air kotor itu kebanyakannya berpunca daripada sistem paip dalaman di rumah pengguna yang tidak diservis dengan baik.

Hal itu terbukti melalui beberapa siri pemeriksaan tangki air rumah yang dilakukan Syabas sejak beberapa tahun lalu. Penemuan terbaru dibuat di sebuah rumah di Kampung Baru di sini semalam.

Sungguh menjijikkan apabila melihat tangki air yang diperiksa. Ia disaluti karat tebal, berlendir dan mengeluarkan bau busuk hingga kelihatan seperti sebuah tangki najis.

"Kebanyakan pengguna Syabas tidak menyedari bahawa masalah bekalan air paip kotor di rumah mereka kebanyakannya berpunca daripada sistem paip di dalam rumah," katanya ketika ditemui selepas program Turun Padang Syabas di sini semalam.

Menurut Abdul Halem, pemeriksaan Syabas mendapati kira-kira 80 peratus daripada 1,076 aduan bekalan air kotor yang diterima pihaknya sejak 6 April lalu berpunca daripada sistem paip atau tangki air di dalam rumah yang telah usang dan berkarat.

(http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm)

Barah hidung sukar dikesan

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090412084644/Article/)


Kelenjar leher bengkak antara simptom NPC (gambar kecil).

Penyakit lazim rakyat Malaysia dengan kaum Bidayuh catat kes tertinggi di dunia

APAKAH hidung anda sering berdarah? Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah barah hidung atau 'nasopharyngeal carcinoma' (NPC) yang kerap kali sukar dikesan kerana kedudukannya yang jauh di belakang hidung.

Malah, lazimnya, pesakit hanya dikesan mengidap NPC apabila mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan lain seperti hidung berdarah atau bengkak pada kelenjar di leher. Namun, malang sekali apabila mereka disahkan menghidap NPC pada tahap ketiga.

Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan berkata, barah hidung adalah penyakit yang paling lazim dikesan dihidapi kalangan warga Malaysia.

Malah di peringkat global, kaum Bidayuh yang menjadi antara etnik utama Sarawak, terbukti menjadi bangsa paling tinggi dikesan menghidap barah hidung.

Di Semenanjung Malaysia, mereka yang berketurunan Cina dan Melayu lebih kerap didiagnos dengan barah hidung.

Pemeriksaan menggunakan kamera khas kaedah utama mengesan NPC.

Masyarakat India, bagaimanapun, amat jarang dikesan mengalami masalah ini.

Barah hidung adalah ketumbuhan yang wujud di 'nasopharynx' iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan di atas bahagian belakang tekak.

"Pada peringkat awal, barah hidung memang sukar dikesan kerana bahagian nasopharnyx payah diperiksa. Lebih sukar lagi, simptom penyakit itu juga menyerupai gejala masalah kesihatan lain," katanya.

Dr Raymond berkata, ada kalanya juga, pesakit percaya hidung yang berdarah disebabkan suhu badan terlalu panas.

Rongga belakang hidung yang diserang barah.

"Ini menyebabkan mereka tidak berjumpa doktor kerana menganggap masalah itu kecil dan boleh sembuh dengan sendiri."

Bagaimanapun, tegasnya, hidung berdarah hanya satu daripada simptom barah hidung. Lebih membimbangkan, simptom itu ada kalanya menunjukkan barah berkenaan sudah pun berada di tahap akhir.

Di negara Asia Tenggara, NPC mencatatkan antara lima hingga 15 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala di China, terutama di Selatan China, Taiwan dan Hong Kong mencatat 30 kes bagi nisbah jumlah penduduk yang sama.

Jelas Dr Raymond, pada peringkat awal, NPC tidak menyebabkan sebarang simptom. Bagaimanapun apabila barah itu merebak ke tahap seterusnya, beberapa simptom mula kelihatan.

Katanya, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan serangan NPC. Antaranya jantina. Lelaki berhadapan dengan risiko NPC dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Manakala orang Asia dan Utara Afrika lebih banyak dikesan menghidap NPC.

"Satu lagi faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC adalah makanan yang diawet dengan kandungan garam yang tinggi, misalnya ikan, itik atau sayur-sayuran,"katanya.

Selain itu virus Epstein-Barr, virus paling biasa ditemui pada manusia dan hidup di sekitar hidung. Virus ini dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

Jelas Dr Raymond, barah NPC tahap satu bermaksud, barah masih berada dalam hidung. Barah NPC tahap dua dan tiga, ketumbuhan semakin besar dan sudah merebak ke bahagian. NPC tahap akhir, barah masuk jauh ke paru paru, tulang atau hati.

"Kerana simptom awal NPC kerap dianggap masalah biasa, kebanyakan pesakit datang ketika sudah berada di tahap kedua dan ketiga," katanya.

Mengikut statistik, hampir 54 peratus dikesan dengan NPC selepas mendapatkan rawatan bengkak di leher, 25 peratus ketika berlaku pendarahan pada hidung, 18 peratus kerana masalah kurang pendengaran pada sebelah telinga, 13 peratus kerana menjadi juling dan 12 peratus terasa telinga berdengung.

INFO: Simptom NPC

Simptom awal
1. Hidung berdarah, bukan pendarahan yang teruk tetapi kesan darah.
2. Salah satu telinga berdengung.
3. Salah satu hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas dengan betul.

Simptom lewat
1. Bengkak pada leher.
2. Mata juling - barah sudah memasuki bawah otak dan menyerang saraf otak yang mengawal pergerakan mata.
3) Sakit kepala yang kronik.
4) Sakit pada tulang kaki atau belakang (tahap empat).

Rawatan

1) Radiasi - memusnahkan sel barah dengan cepat. Namun ada kesan sampingan yang bersifat sementara, misalnya hilang pendengaran, mulut yang kering atau sukar menelan.

2) Kemoterapi - bertindak memusnahkan sel dengan pantas tetapi seperti diketahui ia juga mungkin memusnahkan sel yang sihat berdekatan sel yang terjejas. Kemoterapi bertindak merawat NPC dengan tiga cara, digunakan bersama-sama terapi radiasi, digunakan selepas terapi radiasi atau sebelum terapi radiasi.

3) Pembedahan - bukan rawatan yang kerap dipilih untuk menangani NPC. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor akan menilai rawatan terbaik dengan peratusan untuk pulih yang memihak kepada pesakit.



Dr Noordin Darus: Aura pengaruhi aktiviti mental, fizikal

(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20081214090534/Article/)

dnd@worldwellness.com.my


Tujuh warna dasar aura.

Aura atau tenaga boleh meningkat atau menurun, selain dipengaruhi faktor luaran dan dalaman yang kompleks

DALAM rencana sebelum ini, saya ada menyentuh mengenai Terapi MiFiRo atau Terapi Minda, Fizikal dan Rohaniah. Memang sudah terbukti bahawa sentuhan fizikal saja tidak memadai sebagai terapi. Maksud fizikal di sini ialah ubat-ubatan, suntikan, kemoterapi dan lain lain.

Semua pesakit yang datang berjumpa saya yang pernah menjalani terapi fizikal menunjukkan proses penyembuhan yang terlalu pasif atau lambat jika minda dan rohani mereka tidak menyokong untuk mencapai sesuatu yang disangka mustahil.

Apabila kita bercakap mengenai tenaga minda dan rohani, ada beberapa unsur yang berkait rapat yang boleh mempengaruhi fizikal, minda dan rohani seseorang itu. Pada kali ini saya ingin membincangkan mengenai aura.

Apa itu aura?

Aura adalah warna diri. Secara ringkas aura adalah warna yang memancar dari diri kita. Ada yang menyebutnya sebagai “Noor” kita atau “Chi” kita atau “Tenaga Ilahi” kita. Warna ini adalah hasil daripada ungkapan dan rangkuman keadaan diri kita dan ada pelbagai jenis kualiti yang berbeza daripada sifat fizikal, emosional dan spiritual yang ada pada diri kita.

Kualiti yang berkaitan keadaan fizikal, emosional dan spiritual ini tidak terbentuk secara tiba-tiba, tetapi adalah pembentukan dari masa lampau (“Siapa Kita”) dan masa sekarang (“Mengapa Kita”) dan boleh kita agak untuk masa yang akan datang. (“Harus Bagaimana Kita”)

Aura adalah tenaga

Tanpa adanya tenaga, kehidupan kita di dunia ini akan terhenti. Aura juga adalah kekuatan tenaga yang membentuk dan memberi sifat pada kita. Dengan tenaga yang dimiliki, kita boleh melakukan aktiviti fizikal dan mental. Tenaga ini boleh meningkat atau menurun dan dipengaruhi oleh faktor luaran dan dalaman yang kompleks.

Semua aktiviti mental kita sangat erat hubungannya dengan adanya kegiatan gelombang elektromagnetik yang memancar dari diri kita. Dari sudut perubatan pula teknologi penggunaan EEG (ElectroEncephalogram) menunjukkan bahawa aktiviti mental kita dapat secara efektif dianalisis dan dipantau oleh prinsip gelombang elektromagnetik itu, yang mampu diterjemahkan dalam bentuk grafik gelombang yang menunjukkan aktiviti dan keadaan tertentu otak kita yang mengendalikan semua kegiatan mental dan fisiologi.

Aura adalah fenomena tenaga yang sangat kompleks di dalam diri kita. Tenaga ini diyakini terpancar dari pusat tenaga yang dinamik dan bukan statik yang berada di bahagian yang paling dalam dari diri kita.

Warna dan tenaga? Aura adalah warna dan tenaga? Mana yang betul? Kedua-duanya tidak bertentangan tetapi adalah satu kesatuan yang tidak terpisah. Maksudnya dengan ringkas:

Aktiviti mental (mental) à Arus elektrik à Pencaran bidang gelombang elektromagnetik (warna)

Warna aura adalah penampakan luaran dari aktiviti dan keadaan mental yang memancar dari diri kita. Aktiviti kita memerlukan tenaga. Setiap kegiatan yang memerlukan tenaga dalam tubuh kita akan membabitkan juga adanya arus elektrik. Arus ini memancarkan bidang elektromagnetik yang akhirnya nampak dalam pancaran warna aura.

Sekarang untuk melihat pancaran ini sudah ada teknologi yang disebut “Bio Feedback Camera”. Warna aura kita boleh diambil dan dirakam oleh kamera ini yang kemudian diberi penjelasan sifat-sifatnya melalui komputer.

Sebarang pertanyaan sila hubungi dnd@worldwellness.com.my atau telefon ke 03-77887791



Panduan diet secara sihat

(http://blogs.iium.edu.my/zaida/2008/07/29/panduan-diet-secara-sihat/)

“MINDA yang sihat datangnya daripada badan yang sihat, badan yang sihat datangnya daripada minda yang sihat.” Ungkapan ini tidak asing lagi dan didengar di mana-mana saja. Oleh itu, berapa ramaikah di kalangan kita yang mengamalkannya. Kita semua tahu tubuh badan yang cergas dari segi fizikal dapat meningkatkan setiap aspek kehidupan kita. Bagaimanapun berasaskan kajian yang saya buat keseimbangan antara minda, fizikal dan rohani adalah kunci utama untuk kesihatan yang optimum.

Daripada hakikat inilah saya melahirkan ‘Terapi Mifiro’ - yang datangnya daripada gabungan perkataan minda, fizikal dan rohani. Menerusi artikel ini, insya-Allah saya akan memperkenalkan satu persatu kaedah yang digunakan dalam terapi mifiro ini, mudah-mudahan anda akan mendapat manfaat dan sentiasa sihat sepanjang hayat. Bab yang pertama yang akan saya bincangkan ialah langsing sepanjang hayat.

Bagaimana jika anda boleh makan apa saja yang anda mahu pada bila-bila masa yang anda inginkan tetapi berat badan anda masih lagi terkawal?

Apa yang akan saya kongsi dengan anda adalah satu program diet yang menggunakan terapi mifiro, yang dirumus khas berdasarkan teori saya mengenai pemakanan yang sihat dan senaman yang selamat. Program diet ini sudah saya lancarkan pada 17 September tahun lalu pada seminar aura anggun di Hotel PJ Hilton.

Lazimnya apabila orang bercakap mengenai ‘berdiet’, apa yang kita bayangkan ialah menahan diri daripada makan atau ‘mengira kalori’. Semua ini betul tetapi berapa lamakah ia bertahan? Adakah anda mampu mengikat perut sampai bila-bila sebab kita tahu bahawa jika berhenti daripada berdiet, lambat laun berat badan kita akan naik semula. Laratkah anda mengira kalori sepanjang hayat?

Sebab itu saya memperkenalkan program diet ini dan anda boleh makan saja apa yang diinginkan tetapi pada masa sama dapat mengawal berat badan. Bagaimana caranya? Bolehkah dilakukan?

Perlu anda ketahui bahawa musuh utama dari sudut pelangsingan badan ialah tabiat kita sendiri. Mereka yang semula jadi kurus dari segi genetik jarang berfikir mengenai makanan berbanding dengan mereka yang mahu melangsingkan berat badan dan risau dengan berat badan mereka. Golongan ini sentiasa berfikir mengenai makanan dan secara tidak langsung sama ada mereka akan mengamalkan diet yang keterlaluan atau mereka sudah hilang semangat untuk mencapai matlamat mereka dengan berdiet secara sihat. Ini adalah satu tabiat yang harus diperbaiki dengan cara mengikut lima prinsip di bawah.

Prinsip pertama yang boleh dilakukan supaya anda kekal langsing sepanjang hayat adalah apabila anda lapar, anda perlu makan. Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita akan makan walaupun tidak lapar. Mengapa berlaku demikian? Inilah yang dipanggil sebagai tabiat yang akhirnya akan memudaratkan diri kita sendiri. Sesetengah daripada kita mempunyai tabiat untuk makan walaupun tidak berasa lapar tetapi sesetengah daripada kita pula tidak akan makan sampai terasa seperti kebuluran. Sebenarnya kita perlu mempunyai keseimbangan di antara dua sifat ini. Kita perlu tahu, skala kelaparan bagi kita untuk makan adalah ketika kita berasa agak lapar. Bukannya ketika kita berasa kita hendak makan walaupun perut kita tidak lapar. Kita juga hendaklah makan sebelum kita sampai ke tahap kebuluran kerana jika tidak tubuh badan kita akan ditimpa dengan pelbagai penyakit kerana tidak cukup nutrisi yang diperlukan. Ini adalah satu tabiat yang perlu diubah dan jangan anda tergolong di dalam mana-mana dua golongan ini.

Prinsip yang kedua pula adalah makan apa yang anda inginkan dan bukan apa yang anda rasa anda perlu makan. Anda harus kenal apa yang anda ingin makan dan anda boleh mengetahuinya kerana badan anda sendiri akan menyampaikan isyarat apakah makanan yang anda inginkan. Ini kerana apabila kita berfikir mengenai sesuatu, otak kita akan berfungsi dengan menghantar isyarat itu kepada tubuh badan dengan mengatakan kita inginkan sesuatu makanan. Contoh yang boleh diberikan adalah sekiranya anda melihat nasi bersama ayam goreng di depan mata anda, dan ketika itu ia membuatkan anda terliur, maka itu bererti anda menginginkan makanan itu dan oleh itu anda perlu mengambil makanan itu dengan syarat anda sememangnya sudah terasa agak lapar. Sekiranya ketika itu anda masih lagi terasa kenyang tetapi anda inginkan sesuatu makanan itu, ini bermakna anda hanya mengikut perasaan anda saja.

Prinsip yang ketiga adalah makan secara sedar tanpa mengikut nafsu dan perasaan. Lakukan ini sambil menikmati setiap kunyahan anda dengan cara memperlahankan kecepatan pemakanan anda dan kunyah betul-betul setiap suapan. Minimum kunyahan adalah sebanyak 21 kali dan setiap kali di antara suapan itu anda perlu meletakkan sudu garfu anda di atas pinggan. Jangan makan dengan tergesa-gesa dan lahap kerana ia akan membuatkan anda berasa lebih lapar dan makan lebih banyak. Bagi melakukan prinsip ini anda perlulah mempunyai tahap disiplin dan kesabaran yang tinggi.

Prinsip yang keempat pula adalah berhenti makan apabila anda rasa sudah sederhana kenyang. Sekiranya anda tidak berhenti, ia akan membuatkan anda mengambil makanan yang berlebihan dan pada tahap ini juga anda sudah tidak lagi menikmati makanan itu. Ini kerana ketika anda sudah kenyang tetapi anda meneruskan juga dengan alasan tidak mahu membazir, anda sendiri yang akan menanggung kesannya. Perlu diingatkan bahawa ketika anda mengambil atau meletakkan makanan di dalam pinggan, letak dalam keadaan sedar. Dengan itu anda tidak akan meletakkan makanan secara berlebihan. Di sini berbalik kepada tabiat anda sendiri.

Prinsip yang terakhir adalah anda harus faham akan keajaiban air. Sekiranya anda terasa lapar, minum dahulu lebih kurang segelas air dan sekiranya anda tidak lapar selepas itu, ini bermakna ia hanyalah dahaga. Dengan cara ini anda tidak akan mengambil makanan secara berlebihan. Bagaimanapun, sekiranya selepas minum anda masih lagi berasa lapar, ini bermakna tubuh anda memerlukan makanan. Justeru, anda perlu mengambil makanan sebanyak mana yang diperlukan. Kajian sudah menunjukkan bahawa diet yang membabitkan meminum banyak air adalah lebih efektif dalam jangka masa panjang. Apatah lagi jika air yang digunakan adalah air yang sudah dirawat dan mengandungi khasiat-khasiat seperti air zam-zam, air daripada sumber semula jadi atau air bertenaga aura.

Oleh Dr Noordin Darus, doktor perubatan lulusan Universiti Malaya & London University. Bekas Pengarah Sains Sukan MSN. Pengasas Terapi Air Rx-Water dan bekas pesakit kanser darah. Emel: dnd@worldwellness.com.my atau hubungi 03-77887791/ 77813644

Wanita barah cipta sejarah

Susunan Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my
(http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Hati/20090424095042/Article/index_html)


CUKUP payah mengesan sebarang garis duka pada wajah wanita jelita yang menjadi tetamu rancangan bual bicara Oprah itu.

Keceriaan dan gelak tawanya tidak membayangkan keadaan dirinya - penghidap barah peringkat paling serius, tahap empat.

Lebih menarik, pelakon dan jurugambar, Kris Carr, 37, dari Brooklyn, New York menangani penyakit itu secara positif.

Filem dokumentarinya, "Crazy Sexy Cancer", dihasilkan apabila dia mendapati tidak banyak buku atau filem mengetengahkan masalah penghidap barah di kalangan wanita muda.

"Banyak buku dan filem lebih kepada kanak-kanak atau mereka yang lebih tua daripada saya. Kebanyakan kisah mereka amat menyedihkan. Barah perlukan satu perubahan dan sayalah yang akan melakukannya.

"Lalu saya menulis dan menghasilkan filem mengenai perjalanan hidup saya. Saya rakamkan dari sudut doktor, guru, doktor alternatif dan wanita muda lain.

"Kamera seperti rakan baik saya. Lensa kamera itu membolehkan saya berbicara perkara menakutkan yang saya sendiri enggan akui," katanya menceritakan filem yang disiapkan dalam tempoh empat tahun itu.

Mengenai tajuknya, Crazy Sexy Cancer, ramai yang bertanya, apa yang begitu seksi mengenai barah.

"Jawapan saya mudah, wanita penghidap barah! Kami adalah wanita gila-gila, seksi dan ceria, sama ada kami penghidap barah atau sebaliknya. Tidak salah melihat barah dari sudut jenaka dan secara terbuka.

"Barah kini pembunuh nombor satu di Amerika lalu kita perlu mendekati penyakit ini menerusi pelbagai cara.

"Banyak salah faham mengenai dunia barah, sama ada ia boleh dipulihkan atau menyebabkan kematian. Saya adalah contoh mereka yang hidup dengan barah, dapat menguruskan penyakit dan masih mempunyai kehidupan normal," katanya.

Dia mengharapkan penonton memperoleh inspirasi hasil filemnya itu kerana ia diisi dengan pelbagai aspek yang cukup bermakna dari sudut pendidikan, sikap, kekuatan serta proses memperkasakan diri.

Paling utama, adalah pilihan yang mampu dilakukan seseorang dan mengubah kepayahan yang menentukan perkembangan dan kematangan diri.

Kris disahkan menghidap barah pada Hari Kekasih 2003 dan ia memang menakutkan. Dia hanya membayangkan kematian malah tertanya-tanya mengapa dirinya.

Kris menghidap epithelioid hemangioendothelioma (EHE) iaitu barah salur darah di dalam hati dan paru-paru yang hanya dihidapi oleh 0.01 peratus penghidap barah.

Di Amerika Syarikat, 200 hingga 300 kes berkenaan dikesan setiap tahun dan puncanya masih tidak diketahui.

Menurut doktor, barah tahap keempat bukan saja tidak boleh dirawat malah tidak boleh dibedah.

Ramai doktor yang ditemui Kris malah ada yang menyarankan supaya dia menjalani tiga pemindahan organ.

Namun, wanita ini tekad melakukan sesuatu yang berbeza lantas mencari pelbagai maklumat mengenai barah melalui buku dan Internet.

Dia turut mengubah gaya hidupnya dengan beralih daripada makanan segera kepada sayur-sayuran serta rajin menghasilkan jus hijaunya dengan menghimpunkan timun, kubis dan daun saderi.

Dia juga mencuba terapi alternatif termasuk urutan dan meditasi. Ketika itulah dia mula mendokumentasikan perjalanan hidupnya menerusi filem.

Selain filem, dia turut menghasilkan buku Crazy Sexy Cancer Tips - buku panduan praktikal yang juga berunsur jenaka mengetengahkan sudut pandangan wanita lain yang menghidap barah.

Kris kini bekerjasama pakar onkologi terkemuka mengenai kajian dan penyelidikan menggunakan data daripada ahli komuniti dalam taliannya (www.crazysexylife.com) dan antara 5,000 sehingga 10,000 orang yang mengunjungi laman webnya (www.crazysexycancer.com) setiap minggu.

"Kami ingin membina jambatan antara perubatan Barat dan alternatif," katanya.

Cukup manis, barah turut menemukannya dengan pasangan hidupnya. Kris asalnya meminta Brian Fassett untuk membantunya menghasilkan filem dokumentari mengenai barah berkenaan dan sewaktu melaksanakan projek terbabit, mereka jatuh cinta.

Kris yang tidak terfikir untuk bertemu janji apatah lagi berkahwin apabila mengetahui dirinya menghidap barah, melangsungkan perkahwinan pada 2006.

"Ia salah satu hari yang paling menggembirakan dalam hidup saya.

"Saya mungkin gagal menghapuskan barah itu tetapi saya tidak akan membiarkan ia memusnahkan hidup saya," katanya.

Tempoh bebas kanser

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
(http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090208110132/Article/index_html)


BELUM sempat menarik nafas lega, sudah diserang kanser buat kali kedua. Kesan kemoterapi dulu masih terasa, kini perlu berdepan ubat baru pula. Perjalanan hidup dirasakan seolah-olah terhenti apabila diberitahu kanser yang dirawat kini merebak ke tempat lain.

Kecewa, sedih dan merasakan diri sangat malang menyebabkan sesetengah pesakit kanser berputus asa untuk meneruskan rawatan dan berjuang melawan penyakit.

Memang tiada siapa mahu ditimpa penyakit berulang kali, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima, terutama bagi pesakit kanser paru-paru, payudara dan usus dalam tempoh lima tahun.

Serangan kanser berulang boleh berlaku di tempat sama atau merebak ke anggota lain. Kebanyakan kes serangan kanser berulang dicatatkan berlaku dalam tempoh lima tahun, terutama pada tahun kedua dan ketiga selepas kanser dikesan. Biasanya seseorang itu boleh dianggap bebas kanser apabila berjaya melepasi had lima tahun.

Kenapa lima tahun dan bukan 10 atau 15 tahun? Tempoh lima tahun diguna pakai di seluruh dunia sebagai ukuran kepada kadar keterusan hidup atau jangka hayat pesakit selepas kanser dikesan. Ia merujuk kepada peratusan pesakit yang hidup sekurang-kurangnya selama lima tahun selepas kanser dikesan.

Kadar keterusan hidup ini berbeza mengikut jenis kanser, tahap kemaraan penyakit ketika mendapat rawatan dan tindak balas pesakit terhadap rawatan. Ia boleh mencecah antara 90 hingga 95 peratus bagi kanser payudara peringkat pertama, sekitar 50 hingga 60 peratus bagi kanser paru-paru atau serendah 30 atau 40 peratus saja bagi kanser perut untuk peringkat sama.

Ada pula yang bertanya, apakah ini bermakna pesakit dapat hidup selama lima tahun saja? Tidak. Nyawa bukan di tangan doktor. Hanya Allah tahu berapa lama seseorang pesakit itu boleh hidup. Had lima tahun adalah ukuran masa bagi mengetahui sama ada penyakit terkawal, mengkaji keberkesanan sesuatu rawatan serta jenis kanser yang lebih berbahaya daripada yang lain.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Wahid, kajian mendapati lima tahun adalah masa yang praktikal untuk mengkaji dan membuat perbandingan keadaan kesihatan pesakit sebagai petunjuk kepada kawalan kanser.

Malah dalam tempoh lima tahun, proses pengumpulan maklumat pesakit kanser untuk statistik adalah lebih mudah berbanding 10 tahun kerana dalam jangka masa panjang pelbagai kemungkinan boleh terjadi, termasuk peningkatan jumlah kematian akibat pelbagai sebab seperti serangan ulangan kanser, komplikasi penyakit lain atau kemalangan.

Katanya, jika pesakit berjaya melepasi lima tahun, bermakna peluang mendapat serangan kanser berulang adalah rendah. Pengulangan kanser paling kerap berlaku dalam tempoh satu hingga tiga tahun, terutama bagi kanser paru-paru, payudara dan usus.

“Selalunya apabila melepasi halangan lima tahun ini, risiko untuk kanser datang balik adalah rendah, tetapi ada pengecualian kepada kanser payudara kerana risikonya sentiasa ada. Lebih cepat kanser itu datang balik, keadaannya adalah lebih serius.

“Penyelidik mendapati ada tiga puncak tempoh serangan ulangan kanser iaitu pada dua hingga tiga tahun pertama, diikuti tujuh hingga lapan tahun dan selepas 12 tahun. Risiko ini berkurang dengan masa. Ini bermakna walaupun kanser boleh datang balik selepas lima tahun, kemungkinannya rendah. Risiko mendapat kanser semula dalam tempoh 12 tahun jauh lebih rendah berbanding dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun.

“Seperkara penting yang perlu diingat ialah apabila kanser menyerang semula, keadaan menjadi lebih teruk berbanding serangan pertama. Biasanya apabila kanser datang balik, ia ada pada peringkat keempat (paling serius). Ia tidak melalui peringkat seperti serangan pertama. Ini kerana apabila seseorang mendapat kanser, badan pesakit menanggung beban daripada penyakit ini.

“Walaupun menerima rawatan, beban ini masih ada dan bertambah banyak apabila kanser menyerang semula. Ini sebabnya kanser yang berulang itu lebih serius dan sukar dikawal. Dalam keadaan ini kaedah dan tujuan rawatan tidak sama seperti serangan kanser pertama,” katanya sempena sambutan Hari Kanser Sedunia, Khamis lalu.

Kanser berulang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  • Setempat — Kanser menyerang di tempat sama seperti serangan pertama dan ia tidak merebak ke nodus limfa atau ke lain bahagian badan.

  • Serantau — Kanser datang balik dan menyerang nodus limfa berdekatan tempat asal serangan, tetapi tidak merebak ke anggota lain.

  • Pengulangan jauh — bermakna kanser merebak ke bahagian badan lain seperti paru-paru, hati, tulang atau otak. Kes seperti ini dipanggil metastasis.

    Isunya, kenapa dan bagaimana kanser boleh datang balik sedangkan pesakit menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan, mendapat kemoterapi dan mengamalkan pemakanan serta gaya hidup sihat.

    Punca kanser berulang

    Dr Ibrahim berkata, banyak faktor menyebabkan kanser berulang, antaranya:

  • Saiz ketumbuhan — Lebih besar saiz kanser, lebih tinggi peluang untuk menyerang semula.

  • Kelenjar berdekatan kanser — Jika lebih banyak kelenjar di kawasan kanser, risikonya lebih tinggi. Walaupun kelenjar berhampiran yang disyaki dijangkiti dibuang, ada kemungkinan sel kanser ‘terlepas’ ke dalam kelenjar lain dan memasuki aliran darah. Sel yang terlepas menyebabkan ketumbuhan di tisu lain.

    Malangnya, ia terlalu kecil untuk dikesan. Ketumbuhan ini hanya dapat dikesan apabila ia ‘membiak’ membentuk koloni sel kanser. Untuk kanser payudara contohnya, apabila ketumbuhan bersaiz satu sentimeter, ia mengandungi beberapa juta sel kanser.

  • Gred kanser — Sama ada kanser yang ganas atau tidak. Untuk mengetahuinya, perlakuan sel kanser diperhatikan di bawah mikroskop bagi melihat bilangan dan bentuk sel. Jika jumlah sel mempunyai bentuk luar biasa lebih banyak berbanding sel asal, bermakna kanser berkenaan mungkin ganas.

  • Jenis kanser — Kanser pankreas, paru-paru dan perut biasanya mempunyai peluang tinggi untuk berulang.

  • Organ yang terbabit — Serangan kanser pada sesetengah jenis organ boleh merebak lebih cepat. Contohnya kanser payudara peringkat pertama. Walaupun ujian imbasan CT menunjukkan ia tidak merebak, pesakit tetap diberi rawatan kemoterapi kerana doktor tidak tahu berapa banyak sel kanser ‘terlepas’ dan memasuki tisu lain. Tujuan kemoterapi untuk memusnahkan sel yang terlepas supaya tidak bersarang di tempat lain dan mencegah kanser daripada datang balik.

  • Tindak balas badan pesakit terhadap rawatan kemoterapi — Walaupun sudah menerima kemoterapi pada rawatan pertama, ada kemungkinan wujud sel kanser yang mempunyai ketahanan pada ubat kemoterapi. Keadaan ini berlaku kerana bukan semua sel menjadi sensitif terhadap kemoterapi dan sel berdaya tahan ini membentuk ketumbuhan baru.

    Selalu terjadi pesakit salah faham terhadap rawatan kanser, terutama kemoterapi, yang dianggap ‘racun’ kerana selain sel kanser ia turut membunuh sel sihat. Salah faham ini menyebabkan ramai menganggap rawatan kemoterapi yang membunuh jika pesakit meninggal dunia, sedangkan kebanyakannya hanya datang berjumpa doktor dalam keadaan tenat; selepas puas berubat dengan kaedah tradisional.

    “Pesakit kanser tidak mati kerana rawatan, tetapi akibat penyakit atau komplikasi penyakit. Ramai mahu mencuba rawatan alternatif atau tradisional ketika kanser dikesan. Mereka takut apabila diberitahu perlu menjalani rawatan kemoterapi walaupun ketika itu kanser pada peringkat pertama.

    “Dalam tempoh mereka mendapatkan rawatan lain itu, kanser terus mara dan menjadi bertambah teruk. Dalam keadaan ini kanser sukar dirawat dan biasanya berakhir dengan kematian. Apabila keadaan ini berlaku, ramai membuat perbandingan secara umum jangka hayat pesakit selepas rawatan, sedangkan mereka perlu melihat jenis dan peringkat kanser ketika dirawat serta tindak balas badan terhadap rawatan,” katanya yang juga Perunding Onkologi di Pusat Perubatan Tropicana.

    Menurutnya, setiap jenis kanser mempunyai peluang sembuh berbeza walaupun dikesan pada peringkat sama. Kanser payudara peringkat pertama yang dirawat mempunyai peluang sembuh antara 90 hingga 95 peratus; menurun kepada 80 hingga 90 peratus (peringkat kedua), 40 hingga 50 peratus (peringkat ketiga) dan kurang daripada 10 hingga 20 peratus bagi peringkat keempat.

    Bagi kanser paru-paru pula, peluang sembuh adalah lebih rendah iaitu kira-kira 50 hingga 60 peratus saja walaupun dikesan pada peringkat awal (peringkat satu dan dua) dan turun mendadak kepada hanya 20 peratus bagi peringkat keempat. Pada peringkat keempat, pesakit dijangka hanya boleh hidup selama dua tahun.

    Untuk kanser pankreas pula, peluang keterusan hidup lebih rendah berbanding kanser paru-paru kerana kadar keterusan hidup hanya 30 hingga 40 peratus bagi peringkat pertama. Malah, kadar terusan hidup pesakit yang dikesan menghidap kanser ini pada peringkat keempat dikatakan hampir tiada iaitu mereka dijangka meninggal dunia dalam tempoh lima tahun.

    Berbeza dengan kanser tiroid yang mempunyai peluang sembuh yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus untuk peringkat pertama dan kedua. Malah kanser tiroid peringkat ketiga dan keempat juga mempunyai peluang hidup melebihi 30 hingga 40 peratus.

    Sebagaimana diketahui umum, rawatan kanser membabitkan beberapa kaedah iaitu pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau gabungan semuanya. Namun biasanya kanser malignan (yang boleh merebak) dirawat secara pembedahan dan kemoterapi. Kemoterapi meningkatkan peluang sembuh berbanding pembedahan pembuangan ketumbuhan saja. Contohnya peratus sembuh kanser paru-paru peringkat pertama boleh mencecah sehingga 70 hingga 75 peratus jika rawatan disertakan kemoterapi berbanding hanya 60 peratus dengan pembedahan saja.

    Pencegahan dan rawatan

    Pengulangan serangan kanser boleh dicegah, tetapi sehingga kini tiada kaedah dapat menjamin seseorang bebas sepenuhnya daripada penyakit itu. Pengulangan kanser berlaku kerana ada sel kanser ‘terlepas’ memasuki aliran limfa atau darah dan tidak dapat dimusnahkan dalam rawatan terdahulu.

    Sel ini terlalu kecil untuk dikesan melalui teknologi canggih, termasuk imbasan CT. Biasanya kanser hanya dikesan apabila bersaiz satu sentimeter dan ketumbuhan sekecil ini mempunyai kira-kira satu juga sel kanser!

    Antara kaedah digunakan di seluruh dunia untuk mencegah pengulangan kanser ialah kemoterapi. Kemoterapi memusnahkan sel yang mungkin terlepas dan mencegahnya daripada memasuki aliran darah. Ini sebabnya pesakit memerlukan rawatan seawal mungkin sebaik ia dikesan.

    “Rawatan sebelum dan selepas kanser merebak tidak sama. Kemoterapi sebelum kanser merebak adalah untuk menghapuskan sel dengan tujuan meningkatkan peluang sembuh dan mengurangkan risiko kanser berulang.

    “Bagaimanapun, rawatan kemoterapi selepas kanser merebak adalah untuk mengawal sel kanser supaya tidak membesar, merebak ke tempat lain, mengurangkan komplikasi penyakit dan melengahkan kematian,” katanya.

    Adakah makanan yang boleh diambil untuk mencegah kanser daripada berulang? Walaupun banyak pihak mendakwa produk mereka boleh mencegah kanser, sehingga kini tiada kajian dapat membuktikannya. Pesakit disaran berbincang dengan doktor terlebih dulu sebelum mencuba makanan tambahan, terutama ketika kanser menyerang, kerana ada pakar berpendapat ia boleh merangsang pertambahan sel kanser.

    Dr Ibrahim berkata, usah mudah percaya dakwaan yang dibuat berlandaskan testimoni atau pengakuan pengguna kerana keadaan penyakit setiap orang berbeza. Walaupun tidak menghalang pesakit mencuba rawatan alternatif, lebih baik jika ia dibincangkan dulu dengan doktor supaya jelas kebaikan atau keburukannya.

    Bekas pesakit kanser juga diingatkan supaya mematuhi jadual rawatan susulan iaitu setiap dua hingga empat bulan bagi tiga tahun pertama. Kekerapan ini dikurangkan kepada tiga hingga enam bulan sekali selepas tiga tahun dan setahun sekali apabila pesakit melepasi lima tempoh lima tahun. Ia penting kerana pada rawatan susulan ini doktor boleh mengesan jika ada serangan kanser berulang.

    “Seperkara lagi, jangan mudah percaya cakap orang atau maklumat yang anda baca di Internet. Minta doktor anda perjelaskan maklumat yang anda dapat. Selain itu dalam tempoh lima tahun ini, segera berjumpa doktor jika berasa tidak sihat atau mengesan sesuatu yang tidak normal pada badan,” katanya.
  • Anak sakit leukemia perlu RM200 sebulan

    (http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090720001511/Article/index_html)



    SUNGAI MANIK: “Saya tidak mampu menyediakan perbelanjaan RM200 sebulan membawa anak menjalani rawatan mencuci darah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

    “Malah, saya terpaksa berhenti kerja di sebuah pasar raya di Teluk Intan bagi mendampingi anak saya dan kini kami hanya bergantung harap kepada pendapatan suami RM400 sebulan,” kata Noraini Hasan, 33, ibu kepada kanak-kanak menderita penyakit leukemia, Nur Anisa Mohd Termizi, 4.

    Kisah penderitaan kanak-kanak itu pernah dipaparkan Harian Metro pada 8 November tahun lalu.

    Selain bergantung harap kepada pendapatan suami, Noraini membelanjakan RM15,000 bagi menampung kos rawatan anaknya itu termasuk menggunakan wang simpanan dan meminjam saudara dan ahli keluarga terdekat.
    “Nur Anisa perlu dibawa ke HUKM setiap bulan menjalani rawatan cuci darah.
    “Ini kerana doktor mengesahkan penyakit dihidapi anak saya merebak ke otak dan rawatan cuci darah perlu dilakukan setiap bulan bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lampam di sini, semalam.

    Katanya, sebelum ini, dia terpaksa menemani Nur Anisa selama tujuh bulan apabila kanak-kanak itu menjalani rawatan, baru-baru ini.

    Orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada Nur Anisa boleh menderma kepadanya menerusi akaun Maybank Noraini iaitu 158060013759.

    Noraini berkata, selepas menjalani rawatan itu, anaknya kini sudah kembali ceria berbanding sering menangis kerana menahan kesakitan.

    “Saya dinasihatkan doktor supaya membawa Nur Anisa ke HUKM setiap bulan bagi memasukkan darah jenis O positif ke dalam tubuhnya bagi memulihkan daya ketahanan diri.

    “Malah, saya mungkin akan membawanya beberapa kali dalam sebulan jika dia kelihatan lemah dan pucat disebabkan kekurangan darah dalam tubuh,” katanya.

    Penyakit golongan pekerja

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my

    (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090719091622/Article)




    Seramai 135,000 rakyat Malaysia pada usia produktif hidap sakit sendi rheumatoid arthritis

    ARTHRITIS dan penyakit yang berkaitan dengan otot, adalah antara punca utama morbiditi atau masalah kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai penyakit ini sehinggalah ia dialami oleh diri sendiri atau ahli keluarga.

    Tidak kurang juga yang mungkin memandang ringan terhadap penyakit ini dan menganggapnya sekadar sakit sendi biasa biarpun hakikatnya ini boleh menjejaskan kualiti hidup individu itu serta kegiatan sehariannya.

    Secara umumnya, arthritis berpunca disebabkan radang pada sendi dan perubahan struktur sendi yang kemudian menjejaskan kehidupan pesakit. Kebanyakan pesakit menghidapnya bagi tempoh yang lama atau ia mungkin terjadi sebagai penyakit kronik.

    Penyakit arthritis yang biasa adalah rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis dan ankylosing spondylitis (masalah struktur tulang belakang). Walaupun lazimnya ia dikenali arthritis atau radang sendi, setiap penyakit memiliki manifestasi sendiri dan dialami kumpulan usia berbeza.

    RA misalnya menyebabkan kesakitan, menyekat keupayaan fizikal dan menjejaskan kehidupan pesakit mahu pun ahli keluarganya.

    Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA.

    Presiden Yayasan Arthritis Malaysia, Dr Amir Azlan Zain, berkata kebanyakan pesakit yang menghidap RA adalah dalam usia bekerja dan kesakitan itu mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan.

    “RA tidak hanya menjejaskan sendi, tetapi turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Malah ada kira-kira 135,000 penghidap RA di Malaysia.

    “Penghidap tidak hanya mengalami sakit sendi dan sukar bergerak, malah turut menjejaskan mutu kerja, sentiasa cuti sakit dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya.

    Malah ia turut memerlukan kos rawatan tinggi terutama di kalangan pesakit yang menderita bagi jangka masa yang lama. Jumlah wang dibelanjakan bukan hanya untuk ubat-ubatan dan bil hospital tetapi meliputi rawatan pemulihan dan menggaji pengasuh.

    Imej imbasan jari jemari yang diserang RA.

    Maklumat Statistik Ubat Malaysia 2005 mendapati, kos ubat untuk RA ialah RM50.7 juta manakala jumlah kos tidak langsung dianggarkan kira-kira RM202.8 juta atau empat kali ganda berbanding kos langsung.

    Justeru, pengesanan dan rawatan awal RA amat penting dan ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan imbasan ultrasound atau imbasan resonan magnetik (MRI). Namun, kos imbasan MRI menelan belanja yang tinggi.

    Satu pilihan untuk pesakit RA adalah melakukan imbasan ultrasound rangka otot. Kosnya murah berbanding MRI dan ia boleh mengesan sendi yang radang. Diagnosisnya lebih tepat terutama di peringkat awal penyakit, sekali gus membantu petugas perubatan memantau kesan rawatan ke atas pesakit.

    Pakar Rheumatologi, Universita Politecnica delle Marche, Itali, Prof Walter Grassi berkata, dalam dunia perubatan rheumatologi, teknologi imbasan sudah dikenal pasti membantu pesakit. Imbasan ultrasound rangka otot (MSUS) membantu diagnos dan merawat keadaan kesihatan dengan memberi imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

    “Melalui MSUS, perubahan struktur sendi pada peringkat awal dapat dikesan. Mesin imbasan ultrasound membantu mengesan sendi bermasalah serta tisu lembut di sekelilingnya. Kaedah ini disifatkan tidak mahal dan mengelak pendedahan radiasi,” katanya.

    Pengesanan dan rawatan awal RA penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi kronik dan mengurangkan beban sosio ekonomi negara.

    “Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA pada peringkat awal. Kemajuan mesin pengimbas membantu pakar rheumatologi memberi maklumat lebih baik dan tepat. Ia juga memberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit,” katanya.

    Grassi berkata, MSUS dapat membantu terutama bagi mengesan hakisan awal pada sendi, menilai keradangan pada tisu kenyal sinovia pada sendi, memantau kesan rawatan selain menilai keadaan radang antara otot tulang dan tulang.

    Sebenarnya, bagi dunia perubatan antarabangsa, mesin imbasan rangka otot ini sudah lama diperkenalkan dan terbukti membantu petugas perubatan melihat imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

    Cuma di Malaysia, MSUS agak asing kerana baru diperkenalkan. Ia bagaimanapun sudah ditempatkan di beberapa hospital utama di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan Sabah. Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang dan Hospital Seremban.

    RA cenderung berlaku kepada wanita

    RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan. RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khusunya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup.

    Ada 23.7 juta penghidap RA di seluruh dunia manakala di Malaysia pula dianggarkan seramai 135,000 pesakit.

    RA antara dua hingga tiga kali lebih cenderung terjadi pada wanita berbanding lelaki. Umumnya, RA muncul antara usia 40 ke 60 tahun. Namun RA juga boleh menyerang kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 60 tahun.

    Tiada ubat untuk RA. Cuma, dengan rawatan yang teratur sendi boleh dilindungi daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA.

    RA yang progres sifatnya menyebabkan sel synovial (sel antara tulang dan sekitar sendi yang menghasilkan cecair melincirkan sendi) menjadi tidak normal. Ia masuk ke dalam rawan sendi dan menjejaskan otot, ligamen juga tendon di sekeliling sendi yang secara lazimnya bekerja menyokong dan menstabilkan sendi.

    Radang sendi yang kronik disebabkan RA boleh menyebabkan otot, ligamen dan tendon menjadi lemah menyebabkan ia tidak boleh berfungsi.

    Setakat ini RA tidak boleh diubati. Rawatan RA tertumpu pada mengurangkan keradangan pada sendi bagi memperlahankan kerosakan sendi dan melegakan kesakitan. Selain ubat-ubatan, rawatan RA juga mungkin membabitkan pembedahan bagi kes kerosakan sendi yang serius.

    INFO

    Simptom RA


  • Sakit sendi

  • Sendi bengkak

  • Sendi sakit apabila disentuh

  • Tangan bengkak dan merah

  • Ada benjol keras di lengan

  • Penat

  • Kekejangan pada sendi sekurang-kurangnya 30 minit pada waktu pagi dan mula surut apabila hari mula meninggi

  • Demam

  • Berat badan turun
  • Air bersih badan sihat


    Air menjadi komoditi lebih berharga daripada minyak di beberapa negara terutamanya di Afrika dan Timur Tengah.


    SETIAP hari kita disarankan mengambil antara lapan hingga 10 gelas air. Jumlah ini amat penting memandangkan 70 peratus daripada keseluruhan tubuh manusia terdiri daripada air. Air secukupnya diperlukan bagi menyahtoksik dalam badan, melincirkan sendi dalam sistem kerangka, menyokong sistem dan organ pencernaan, mengawal suhu badan dan menghantar nutrien serta oksigen ke sel-sel badan.

    Namun, adakah kita benar-benar mematuhi saranan ini dan yakinkah kita bahawa air yang diminum setiap hari mampu menjalankan tanggungjawab yang disebut?

    Pakar Air Bertauliah dari Persatuan Kualiti Air (WQA) dan perunding Elken Bio Pure, Michael Robert Long berkata, setiap lima hingga 13 hari, air di dalam keseluruhan badan kita akan diperbaharui

    "Jika air yang meliputi 70 peratus badan kita adalah bersih, maka sel badan akan mempunyai persekitaran sihat dan segar," katanya.

    Menurutnya, air yang bersih dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, menggalakkan metabolisme sel, mengurangkan risiko pertumbuhan sel-sel abnormal, menghalang penyebaran toksin dan mengurangkan risiko mendapat penyakit.

    "Selain air yang kita minum, pelbagai lagi bendasing termasuk yang tidak baik terkandung di dalamnya. Saya tidak mahu benda lain, saya hanya mahukan air," ujar Long.

    Beliau menjelaskan, air yang kita minum hari ini semakin tidak selamat kerana beberapa faktor. Antaranya pencemaran sumber air dan juga proses pengklorinan bagi menghasilkan air bersih yang disalurkan ke paip setiap rumah. Bahan kimia yang terbentuk ketika pengklorinan, menurut satu kajian yang pernah dijalankan, sangat berkait rapat dengan kecacatan bayi ketika lahir.

    Kata Long lagi, pengklorinan dan penapisan mekanikal tidak menghilangkan arsenik daripada air. Malah, merebus air boleh meningkatkan kandungannya lagi. Arsenik dalam minuman boleh mengundang risiko kanser dan penyakit paru-paru.

    "Kerana itu kita perlu memastikan air yang diminum dirawat dengan sepatutnya seperti menggunakan kaedah osmosis songsang yang terdapat pada penapis air tertentu," katanya lagi.

    Ketahui banyak lagi fakta menarik mengenai air dengan mengunjungi Ekspo Pendidikan Air Elken H20: Tahukah Anda… Misi Penerokaan!

    Dianjurkan oleh Elken Bio Pure, ekspo air pertama seumpamanya di Malaysia ini dibuka kepada orang ramai secara percuma sejak 23 Mei lalu hingga 16 Ogos ini. Ia diadakan di Pusat Konvensyen Elken di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

    Penganjuran ekspo itu bukan hanya bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan air. Pada masa yang sama, ia mendidik pelawat mengenai kandungan mikro organisma dalam air yang tidak dirawat dan pelbagai cara merawat air.

    "Satu ketika dahulu, kita semua tidak menghargai bekalan air yang terdapat dalam kuantiti yang banyak di muka bumi ini. Tetapi hari ini, air dikhuatiri semakin menjadi satu komoditi penting dan mungkin akan diletakkan pada harga yang tinggi atau lebih tinggi daripada petroleum," ujar Long.

    Menurutnya, air adalah salah satu sumber yang paling bernilai di dunia tetapi sayangnya kita terus mengeksploitasikannya.

    "Banyak yang telah diperkatakan dan ditulis tentang air. Namun kebanyakan daripada kita kurang menghargainya," katanya.

    Menurutnya, tidak ramai yang sedar bahawa banyak lagi fakta tentang air yang tidak diketahui orang.

    Justeru, katanya, ekspo itu bukan sahaja bersifat mendidik tetapi juga inovatif dan menyeronokkan kerana pihak penganjur akan membawa pengunjung melalui suatu perjalanan sejarah, geografi dan sains tentang air.

    "Ia juga akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang air, kepentingannya pada kesihatan dan bagaimana kita boleh memainkan peranan yang penting dalam memelihara komoditi berharga ini," kata Long.

    Katanya lagi, sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak pasti terpesona menyaksikan "ensiklopedia air sebenar" yang menawarkan pengalaman deria dan perjalanan yang menyeronokkan kepada pengunjung.

    Beliau menjelaskan, perjalanan itu bermula dengan pandangan dari udara ke atas sistem solar dan keunikan planet biru kita.

    Daripada ketakjuban sistem planet, Long berkata, perjalanan ilmu itu diteruskan ke padang pasir atau kawasan gurun yang hampir-hampir tiada air, kemudian beralih pula ke suatu tempat ekstrem di mana air terkunci di dalam bongkah-bongkah ais dan glasier.

    Pengunjung kemudian akan memasuki alam lautan dan meneroka fakta luar biasa tentang hidupan laut sambil mencari-cari makhluk aneh yang tersembunyi dari mata kasar.

    Penerokaan seterusnya akan membawa pengunjung ke sumber air bumi dan memahami mengapa air begitu banyak, tetapi air yang boleh digunakan pula terlalu sedikit.

    "Jangan lupa mencuba replika skru Archimedes iaitu peralatan orang zaman purba mengepam air," katanya.

    Selain itu, melalui ekspo ini anda juga akan mempelajari bagaimana untuk menjimatkan sumber berharga ini. Dan, jangan lupa menandatangani perjanjian untuk menjimatkan penggunaan air setiap hari bersama ribuan pengunjung lain di dinding yang disediakan.

    Pengunjung juga dapat menyaksikan pameran oleh Yayasan Hidupan Liar Dunia (WWF) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan yang turut serta sebagai penganjur bersama ekspo air pada kali ini.

    Ekspo ini dibuka pada pukul 2 petang hingga 8 malam dari Isnin hingga Jumaat manakala pukul 10 pagi hingga 8 malam pada Sabtu dan Ahad. Masuk adalah percuma. Untuk keterangan lanjut, sila layari www.whatsH2O.com.

    Fakta menarik mengenai air

    l> Seekor gajah dapat mengesan air sejauh tiga batu. Gajah dapat menyedut sebanyak dua gelen (7.5 liter) air ke dalam belalai setiap kali minum.

    l> Beruang koala tidak minum air, kerana daun eucalyptus yang dimakannya membekalkan air secukupnya.

    l> Tikus kanggaru mahir hidup di kawasan gurun. Tikus ini minum sedikit air atau tidak minum langsung tetapi bergantung pada air yang dimetaboliskan daripada bijian yang dimakannya.

    l> Seekor zirafah boleh berjalan lebih lama tanpa air berbanding seekor unta. Ini kerana ia menyimpan tenaga sehingga tidak mudah berasa dahaga.

    Kenali Pesakit: Reda kunci ketenangan Azean

    Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


    AZEAN IRDAWATI bersama anaknya Elza Ivdalynne Khairul Anuar.


    CINTANYA pada dunia lakonan tidak pernah pudar. Dua kali melalui keperitan rawatan kemoterapi, Azean Irdawaty, 59 tidak pernah mengenal erti putus asa. Insan seni ini masih ceria dan bersemangat seperti dulu.

    Penampilannya kali ini agak berbeza dengan raut wajah yang lebih tenang.

    Tidak seperti kanser payu dara biasa, sel kanser telah merebak dua kali dalam badannya.

    Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali pada tahun 2007 (enam pusingan) dan 2008 (12 pusingan).

    Selepas menjalani rawatan kemoterapi pertama, Azean melakukan rawatan herseptin sebanyak 17 kali untuk memastikan sel kanser tidak merebak.

    Ketika itu hidup Azean benar-benar diuji kerana dia perlu membelanjakan RM 10 ribu untuk setiap rawatan.

    Demi kehidupan yang lebih baik, Azean perlu menempuhnya kerana jenis-jenis kanser yang dihidapinya amat jarang dan sangat agresif.

    Tidak sampai setahun menghabiskan rawatan, sekali lagi hidup Azean diuji.

    Sel kanser telah merebak ke paru-paru dan hati. Azean kemudian melakukan rawatan kemoterapi sekali lagi hingga Januari 2009 lalu.

    Namun, dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung rawatan herseptin kerana masalah kewangan.

    "Dua tahun Kak Yan tidak bekerja. Sebelum ini pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk zakat, persatuan dan rakan-rakan yang Kak Yan terima. Pada satu tahap, Kak Yan segan kerana ibarat meminta-minta. Sepanjang dua tahun ini, hampir RM 200 ribu lebih yang Kak Yan belanja untuk perubatan," katanya dengan tenang.

    Usahanya untuk terus hidup tidak setakat itu, Azean masih meneruskan rawatan secara tradisional seperti memakan habba tus sawda iaitu sejenis bunga di negara Arab.

    "Kak Yan juga mencuba minyak zaitun dara dari Palestin dan makan biji buah aprikot dari Australia. Alhamdulillah, setakat ini ia dapat membantu Kak Yan," jelasnya.

    Berkongsi dengan pembaca tentang punca penyakitnya, Azean mengakui ia mungkin berpunca daripada stres.

    Namun, ia bukan sekadar tekanan yang dialami kerana kerjanya sebagai pelakon tetapi mengambil kira pelbagai faktor yang lain.

    "Dulu waktu rehat Kak Yan memang kurang. Bayangkan dengan waktu penggambaran yang tidak menentu, Kak Yan juga akan mengurus kerja rumah. Hampir setiap hari Kak Yan akan tidur pukul empat pagi. Bukan itu sahaja, dalam hati Kak Yan, melihat anak-anak membesar di depan cukup merisaukan. Pada zaman ini, pelbagai cabaran yang boleh mempengaruhi mereka," katanya.

    Ceritanya, apa pun pekerjaan yang dibuat sama ada di pejabat atau di mana sahaja, semuanya ada stres masing-masing termasuk masalah kewangan.

    Sebelum ini, Azean memang seorang yang sangat mengambil berat tentang pemakanan dan senaman.

    "Kak Yan memang menjaga makanan seimbang termasuk melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kak Yan juga mengamalkan yoga setiap pagi sejak berusia 20-an lagi," katanya.

    Mungkin sudah ditakdir supaya Azean lebih tabah menghadapi ujian penyakit itu.

    Semuanya kembali tenang apatah lagi suami dan anak-anak sentiasa memberi sokongan.

    "Tiada perkataan yang dapat menggambarkan peritnya kemoterapi - sakit dan mabuk. Tetapi sakit itu terubat dengan adanya keluarga," ujar wanita yang tidak pernah mengenal erti putus asa ini.

    Azean yakin semua yang berlaku itu ada rahmat kerana dia yakin Allah tidak akan menzalimi hambanya tanpa kebaikan di sebalik ketentuan itu.

    "Kak Yan bukan jenis bersedih tetapi suka ketawa. Kalau menangis pun, Kak Yan hanya akan menangis di hadapan kamera atau kerana terlalu gembira," katanya yang pernah cedera tulang belakang.

    Disebabkan kecederaan tulang belakang,

    Azean terpaksa berkerusi roda.

    "Ramai yang salah faham apabila Kak Yan berkerusi roda. Sebenarnya bukan kerana kanser tetapi Kak Yan pernah cedera tulang belakang sebelum disahkan menghidap kanser. Selepas kemoterapi, kecederaan itu semakin teruk," ujarnya.

    Ketika ini, Azean sering berulang alik ke Hospital Putrajaya untuk menjalani rawatan fisioterapi. Harapannya, agar suatu hari di boleh berjalan semula.

    Dalam pada itu, Azean memberitahu bahawa setiap kejadian yang berlaku itu perlu dihadapi dengan reda.

    "Kak Yan berharap sesiapa di luar sana sama ada pesakit atau ahli keluarga yang berasa bimbang perlu reda menghadapi kehidupan. Ia merupakan kunci ketenangan dan menghilangkan resah kita," bicaranya.

    Nama: Azean Irdawaty

    Umur:59 tahun

    Hobi: Memasak dan berkebun

    Penyakit: Kanser payu dara

    > Dua kali menjalani kemoterapi (2007 dan 2008)

    > Selesai kemoterapi pada Januari 2009

    > Turut melakukan rawatan herseptin selepas kemoterapi pada tahun 2007(tetapi kini tidak meneruskan rawatan yang menelan belanja RM10,000 untuk satu sesi)


    'Saya jadi bingung' - Shukery

    'Saya jadi bingung' -










    Shukery KESIHATAN (KOSMO Online ) 'Saya jadi bingung' - Shukery Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN Kanser pankreas kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain. “BILA doktor beritahu saya kena kanser, rasa macam ada batu besar hempap kepala saya. Macam-macam perasaan bercampur aduk dalam fikiran saya – risau, takut, sakit. “Semua bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila doktor menjelaskan kanser tersebut sudah di tahap serius. “Sebelum ini, saya cuma dengar cerita orang kena kanser, bila terkena pada diri saya sendiri, saya jadi bingung,” ujar pelakon Shukery Hashim yang disahkan mengidap kanser pankreas tahap keempat lewat bulan lalu. Berusia 55 tahun, Shukery pada awalnya tidak ambil pusing rasa senak yang menyerangnya dan menganggap ia mungkin angin biasa. Namun, apabila rasa senak sering berulang, ditambah pula dengan pedih, panas dan tidak selesa di bahagian atas abdomen dan belakang, atas nasihat rakan-rakan, dia membuat pemeriksaan di klinik swasta dan doktor mengesyaki dia menghidap batu karang. “Mula-mula buat pemeriksaan di klinik, doktor kata mungkin batu karang, tetapi doktor suruh saya rujuk kepada doktor pakar di Hospital Selayang. “Di klinik pakar, saya menjalani pemeriksaan yang lebih khusus dan apabila doktor buat CT scan, doktor memberitahu pankreas saya sudah hitam dan membengkak. “Saya ditahan di wad dan selepas menjalani beberapa kali pemeriksaan, doktor memberitahu saya mengidap kanser pankreas,” katanya ketika dihubungi Jurnal minggu ini. Menurut Shukery, semasa dirawat di hospital, satu pembedahan telah dilakukan ke atasnya namun doktor tidak mampu berbuat apa-apa kerana sel kanser sudah merebak ke organ dalaman lain.





    “Doktor hanya buka dan tutup saja. Mereka tidak boleh buat apa-apa sebab sel kanser dah merebak ke hempedu dan hati,” katanya. SEL kanser pankreas sangat mudah merebak ke organ lain seperti hempedu dan hati. DR. SHAHROL AZMI Ketika diasak pertanyaan bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Shukery sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu. “Doktor pun belum dapat mengenal pasti punca, mungkin faktor pemakanan tetapi ia belum dapat dipastikan lagi,” katanya. Akibat kanser itu juga, beliau kurang selera makan dan berat badannya turun mendadak sejak dua bulan lalu. “Saya hilang 14 kilogram dalam masa dua bulan. Doktor nasihatkan saya supaya banyak berehat dan kembalikan selera makan supaya ada tenaga untuk lawan penyakit ini,” katanya. Dia yang sebelum ini pernah mengalami masalah jantung tetap mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam apabila berkelapangan dan tidak merokok. Shukery yang kini sedang berehat di rumahnya memberitahu beliau akan memulakan rawatan kemoterapi pada minggu hadapan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). “Buat masa ini saya masih berbincang dengan doktor mengenai rawatan susulan di PPUKM. Saya juga tidak menolak rawatan alternatif untuk berubat. Asal ada peluang dan jalan untuk menyembuhkan penyakit ini, insya-Allah saya akan cuba,” katanya. Mengakhiri perbualan bersama Jurnal pagi itu, Shukery sempat merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan sokongan daripada keluarga dan semua kenalannya. “Saya amat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan. Saya juga tidak putus berdoa agar saya terus diberi kekuatan dan kecekalan untuk menghadapi kesukaran dan boleh sihat seperti dulu,” ujarnya. Membunuh secara senyap Menurut Pakar Bedah Am, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Shahrol Azmi Mohd. Yasin, Shukery Hashim menghidap kanser pankreas yang tipikal di mana setiap penghidap mengalami situasi yang sama dari segi simptom dan lewat dikenal pasti.



    “Kanser pankreas merupakan ‘pembunuh senyap’ yang mana ia tidak menimbulkan simptom atau tanda yang jelas pada peringkat awal. “Disebabkan itu, penyakit ini kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain,” katanya. Menurut Dr. Shahrol, kebanyakan punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi faktor-faktor seperti merokok, diabetes, anemia dan pankreatitis kronik mempunyai kaitan rapat yang boleh mengundang risiko kanser ini. Tambahnya lagi, kekeliruan terhadap simptom pada peringkat awal juga melewatkan proses pengesanan kanser dan mengakibatkan ia tidak dapat dirawat dan dibuang pada peringkat awal.
    Sekiranya pesakit mendapat jaundis, ia adalah petanda yang membolehkan kanser dirawat pada tahap awal. Mungkin sel kanser masih kecil dan belum merebak. Jelas beliau lagi, kanser jenis ini merupakan salah satu kanser yang agresif dan insiden kanser ini semakin bertambah di kebanyakan negara.




    Bagaimanapun di Malaysia, belum ada statistik yang lengkap mengenai penyakit ini. “Kanser pankreas juga sangat jarang berlaku. Dalam setahun, mungkin ada satu dua kes, itu pun kes yang sudah kritikal. “Kanser ini kebiasaannya menyerang lelaki dan disebabkan ia hanya boleh dikenal pasti pada peringkat serius. “Ia kerap terjadi pada pesakit lelaki berusia 45 tahun ke atas. Manakala lebih 80 peratus kes berlaku melibatkan pesakit dalam lingkungan umur 60 hingga 80 tahun,” katanya. Tidak dapat dibuang dengan pembedahan Menurut Dr. Shahrol, pengesanan peringkat awal amat membantu pesakit kerana ketumbuhan yang kebiasaannya hadir di bahagian kepala pankreas masih boleh dibuang. Namun, apabila ketumbuhan itu menutup saluran hempedu masalah lain pula yang akan timbul sama ada pesakit akan mendapat kekuningan yang tidak menyakitkan ataupun ketumbuhan itu membentuk sel kanser. “Sekiranya sel kanser masih kecil dan belum merebak ke organ lain, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang sel tersebut. “Tetapi bagi kes Shukery, pembedahan yang dilakukan tidak dapat membuang sel kanser kerana ia sudah merebak di hempedu dan hati. “Apa yang boleh dilakukan dalam pembedahan itu hanyalah untuk merencatkan sel kanser supaya ia tidak terus merebak ke bahagian lain. “Disebabkan lewat didiagnosis, kebanyakan pesakit hanya mendapat rawatan untuk mengurangkan simptom sahaja,” ujarnya.