(http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090720001511/Article/index_html)
SUNGAI MANIK: “Saya tidak mampu menyediakan perbelanjaan RM200 sebulan membawa anak menjalani rawatan mencuci darah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Malah, saya terpaksa berhenti kerja di sebuah pasar raya di Teluk Intan bagi mendampingi anak saya dan kini kami hanya bergantung harap kepada pendapatan suami RM400 sebulan,” kata Noraini Hasan, 33, ibu kepada kanak-kanak menderita penyakit leukemia, Nur Anisa Mohd Termizi, 4.
Kisah penderitaan kanak-kanak itu pernah dipaparkan Harian Metro pada 8 November tahun lalu.
Selain bergantung harap kepada pendapatan suami, Noraini membelanjakan RM15,000 bagi menampung kos rawatan anaknya itu termasuk menggunakan wang simpanan dan meminjam saudara dan ahli keluarga terdekat.
“Nur Anisa perlu dibawa ke HUKM setiap bulan menjalani rawatan cuci darah.
“Ini kerana doktor mengesahkan penyakit dihidapi anak saya merebak ke otak dan rawatan cuci darah perlu dilakukan setiap bulan bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lampam di sini, semalam.
Katanya, sebelum ini, dia terpaksa menemani Nur Anisa selama tujuh bulan apabila kanak-kanak itu menjalani rawatan, baru-baru ini.
Orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada Nur Anisa boleh menderma kepadanya menerusi akaun Maybank Noraini iaitu 158060013759.
Noraini berkata, selepas menjalani rawatan itu, anaknya kini sudah kembali ceria berbanding sering menangis kerana menahan kesakitan.
“Saya dinasihatkan doktor supaya membawa Nur Anisa ke HUKM setiap bulan bagi memasukkan darah jenis O positif ke dalam tubuhnya bagi memulihkan daya ketahanan diri.
“Malah, saya mungkin akan membawanya beberapa kali dalam sebulan jika dia kelihatan lemah dan pucat disebabkan kekurangan darah dalam tubuh,” katanya.

0 comments:
Post a Comment