Susunan Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my
(http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Hati/20090424095042/Article/index_html)
CUKUP payah mengesan sebarang garis duka pada wajah wanita jelita yang menjadi tetamu rancangan bual bicara Oprah itu.
Keceriaan dan gelak tawanya tidak membayangkan keadaan dirinya - penghidap barah peringkat paling serius, tahap empat.
Lebih menarik, pelakon dan jurugambar, Kris Carr, 37, dari Brooklyn, New York menangani penyakit itu secara positif.
Filem dokumentarinya, "Crazy Sexy Cancer", dihasilkan apabila dia mendapati tidak banyak buku atau filem mengetengahkan masalah penghidap barah di kalangan wanita muda.
"Banyak buku dan filem lebih kepada kanak-kanak atau mereka yang lebih tua daripada saya. Kebanyakan kisah mereka amat menyedihkan. Barah perlukan satu perubahan dan sayalah yang akan melakukannya.
"Lalu saya menulis dan menghasilkan filem mengenai perjalanan hidup saya. Saya rakamkan dari sudut doktor, guru, doktor alternatif dan wanita muda lain.
"Kamera seperti rakan baik saya. Lensa kamera itu membolehkan saya berbicara perkara menakutkan yang saya sendiri enggan akui," katanya menceritakan filem yang disiapkan dalam tempoh empat tahun itu.
Mengenai tajuknya, Crazy Sexy Cancer, ramai yang bertanya, apa yang begitu seksi mengenai barah.
"Jawapan saya mudah, wanita penghidap barah! Kami adalah wanita gila-gila, seksi dan ceria, sama ada kami penghidap barah atau sebaliknya. Tidak salah melihat barah dari sudut jenaka dan secara terbuka.
"Barah kini pembunuh nombor satu di Amerika lalu kita perlu mendekati penyakit ini menerusi pelbagai cara.
"Banyak salah faham mengenai dunia barah, sama ada ia boleh dipulihkan atau menyebabkan kematian. Saya adalah contoh mereka yang hidup dengan barah, dapat menguruskan penyakit dan masih mempunyai kehidupan normal," katanya.
Dia mengharapkan penonton memperoleh inspirasi hasil filemnya itu kerana ia diisi dengan pelbagai aspek yang cukup bermakna dari sudut pendidikan, sikap, kekuatan serta proses memperkasakan diri.
Paling utama, adalah pilihan yang mampu dilakukan seseorang dan mengubah kepayahan yang menentukan perkembangan dan kematangan diri.
Kris disahkan menghidap barah pada Hari Kekasih 2003 dan ia memang menakutkan. Dia hanya membayangkan kematian malah tertanya-tanya mengapa dirinya.
Kris menghidap epithelioid hemangioendothelioma (EHE) iaitu barah salur darah di dalam hati dan paru-paru yang hanya dihidapi oleh 0.01 peratus penghidap barah.
Di Amerika Syarikat, 200 hingga 300 kes berkenaan dikesan setiap tahun dan puncanya masih tidak diketahui.
Menurut doktor, barah tahap keempat bukan saja tidak boleh dirawat malah tidak boleh dibedah.
Ramai doktor yang ditemui Kris malah ada yang menyarankan supaya dia menjalani tiga pemindahan organ.
Namun, wanita ini tekad melakukan sesuatu yang berbeza lantas mencari pelbagai maklumat mengenai barah melalui buku dan Internet.
Dia turut mengubah gaya hidupnya dengan beralih daripada makanan segera kepada sayur-sayuran serta rajin menghasilkan jus hijaunya dengan menghimpunkan timun, kubis dan daun saderi.
Dia juga mencuba terapi alternatif termasuk urutan dan meditasi. Ketika itulah dia mula mendokumentasikan perjalanan hidupnya menerusi filem.
Selain filem, dia turut menghasilkan buku Crazy Sexy Cancer Tips - buku panduan praktikal yang juga berunsur jenaka mengetengahkan sudut pandangan wanita lain yang menghidap barah.
Kris kini bekerjasama pakar onkologi terkemuka mengenai kajian dan penyelidikan menggunakan data daripada ahli komuniti dalam taliannya (www.crazysexylife.com) dan antara 5,000 sehingga 10,000 orang yang mengunjungi laman webnya (www.crazysexycancer.com) setiap minggu.
"Kami ingin membina jambatan antara perubatan Barat dan alternatif," katanya.
Cukup manis, barah turut menemukannya dengan pasangan hidupnya. Kris asalnya meminta Brian Fassett untuk membantunya menghasilkan filem dokumentari mengenai barah berkenaan dan sewaktu melaksanakan projek terbabit, mereka jatuh cinta.
Kris yang tidak terfikir untuk bertemu janji apatah lagi berkahwin apabila mengetahui dirinya menghidap barah, melangsungkan perkahwinan pada 2006.
"Ia salah satu hari yang paling menggembirakan dalam hidup saya.
"Saya mungkin gagal menghapuskan barah itu tetapi saya tidak akan membiarkan ia memusnahkan hidup saya," katanya.
Posted by
www.rxwater2u.com.my

0 comments:
Post a Comment