Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
![]() |
| AZEAN IRDAWATI bersama anaknya Elza Ivdalynne Khairul Anuar. |
CINTANYA pada dunia lakonan tidak pernah pudar. Dua kali melalui keperitan rawatan kemoterapi, Azean Irdawaty, 59 tidak pernah mengenal erti putus asa. Insan seni ini masih ceria dan bersemangat seperti dulu.
Penampilannya kali ini agak berbeza dengan raut wajah yang lebih tenang.
Tidak seperti kanser payu dara biasa, sel kanser telah merebak dua kali dalam badannya.
Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali pada tahun 2007 (enam pusingan) dan 2008 (12 pusingan).
Selepas menjalani rawatan kemoterapi pertama, Azean melakukan rawatan herseptin sebanyak 17 kali untuk memastikan sel kanser tidak merebak.
Ketika itu hidup Azean benar-benar diuji kerana dia perlu membelanjakan RM 10 ribu untuk setiap rawatan.
Demi kehidupan yang lebih baik, Azean perlu menempuhnya kerana jenis-jenis kanser yang dihidapinya amat jarang dan sangat agresif.
Tidak sampai setahun menghabiskan rawatan, sekali lagi hidup Azean diuji.
Sel kanser telah merebak ke paru-paru dan hati. Azean kemudian melakukan rawatan kemoterapi sekali lagi hingga Januari 2009 lalu.
Namun, dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung rawatan herseptin kerana masalah kewangan.
"Dua tahun Kak Yan tidak bekerja. Sebelum ini pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk zakat, persatuan dan rakan-rakan yang Kak Yan terima. Pada satu tahap, Kak Yan segan kerana ibarat meminta-minta. Sepanjang dua tahun ini, hampir RM 200 ribu lebih yang Kak Yan belanja untuk perubatan," katanya dengan tenang.
Usahanya untuk terus hidup tidak setakat itu, Azean masih meneruskan rawatan secara tradisional seperti memakan habba tus sawda iaitu sejenis bunga di negara Arab.
"Kak Yan juga mencuba minyak zaitun dara dari Palestin dan makan biji buah aprikot dari Australia. Alhamdulillah, setakat ini ia dapat membantu Kak Yan," jelasnya.
Berkongsi dengan pembaca tentang punca penyakitnya, Azean mengakui ia mungkin berpunca daripada stres.
Namun, ia bukan sekadar tekanan yang dialami kerana kerjanya sebagai pelakon tetapi mengambil kira pelbagai faktor yang lain.
"Dulu waktu rehat Kak Yan memang kurang. Bayangkan dengan waktu penggambaran yang tidak menentu, Kak Yan juga akan mengurus kerja rumah. Hampir setiap hari Kak Yan akan tidur pukul empat pagi. Bukan itu sahaja, dalam hati Kak Yan, melihat anak-anak membesar di depan cukup merisaukan. Pada zaman ini, pelbagai cabaran yang boleh mempengaruhi mereka," katanya.
Ceritanya, apa pun pekerjaan yang dibuat sama ada di pejabat atau di mana sahaja, semuanya ada stres masing-masing termasuk masalah kewangan.
Sebelum ini, Azean memang seorang yang sangat mengambil berat tentang pemakanan dan senaman.
"Kak Yan memang menjaga makanan seimbang termasuk melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kak Yan juga mengamalkan yoga setiap pagi sejak berusia 20-an lagi," katanya.
Mungkin sudah ditakdir supaya Azean lebih tabah menghadapi ujian penyakit itu.
Semuanya kembali tenang apatah lagi suami dan anak-anak sentiasa memberi sokongan.
"Tiada perkataan yang dapat menggambarkan peritnya kemoterapi - sakit dan mabuk. Tetapi sakit itu terubat dengan adanya keluarga," ujar wanita yang tidak pernah mengenal erti putus asa ini.
Azean yakin semua yang berlaku itu ada rahmat kerana dia yakin Allah tidak akan menzalimi hambanya tanpa kebaikan di sebalik ketentuan itu.
"Kak Yan bukan jenis bersedih tetapi suka ketawa. Kalau menangis pun, Kak Yan hanya akan menangis di hadapan kamera atau kerana terlalu gembira," katanya yang pernah cedera tulang belakang.
Disebabkan kecederaan tulang belakang,
Azean terpaksa berkerusi roda.
"Ramai yang salah faham apabila Kak Yan berkerusi roda. Sebenarnya bukan kerana kanser tetapi Kak Yan pernah cedera tulang belakang sebelum disahkan menghidap kanser. Selepas kemoterapi, kecederaan itu semakin teruk," ujarnya.
Ketika ini, Azean sering berulang alik ke Hospital Putrajaya untuk menjalani rawatan fisioterapi. Harapannya, agar suatu hari di boleh berjalan semula.
Dalam pada itu, Azean memberitahu bahawa setiap kejadian yang berlaku itu perlu dihadapi dengan reda.
"Kak Yan berharap sesiapa di luar sana sama ada pesakit atau ahli keluarga yang berasa bimbang perlu reda menghadapi kehidupan. Ia merupakan kunci ketenangan dan menghilangkan resah kita," bicaranya.
Nama: Azean Irdawaty
Umur:59 tahun
Hobi: Memasak dan berkebun
Penyakit: Kanser payu dara
> Dua kali menjalani kemoterapi (2007 dan 2008)
> Selesai kemoterapi pada Januari 2009
> Turut melakukan rawatan herseptin selepas kemoterapi pada tahun 2007(tetapi kini tidak meneruskan rawatan yang menelan belanja RM10,000 untuk satu sesi)


0 comments:
Post a Comment